Category Archives: Editorial

Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Alhamdulilah, impian SDARA untuk memiliki sebuah bangunan sendiri telahpun menjadi kenyataan. Walaupun rancangan SDARA untuk membangunkan Kompleks SDARA di Seksyen 14 Bandar Baru Bangi yang mengandungi sebuah kompleks perniagaan SDARA SQUARE dan Kolej Yayasan SDARA di atas tapak seluas lebih kurang 3.6 hektar (9 ekar) di Seksyen 14, Bandar Baru Bangi tidak berhasil dan dilanda kemelut sejak upacara Pecah Tanah dilaksanakan pada 29 November 1997, namun kini SDARA wajarlah bersyukur dan bolehlah merasa lega dengan siapnya bangunan Wisma SDARA di Bandar Seri Putra, Kajang. Kejayaan ini tidak syak lagi akan mengukuhkan lagi SDARA sebagai sebuah alumni yang berwibawa. Tahniah diucapklan kepada semua pihak yang telah memberikan tekanan, pandangan, idea dan khidmat kepakaran khasnya barisan kepimpinan SDARA dari dahulu hingga sekarang yang telah berusaha menjayakan projek ini.

The propose SDARA SQUARE

Wisma SDARA

Sejak Julai yang lepas, banyak aktiviti telah dijalankan oleh ahli-ahli. Nampaknya batch 66-73 begitu aktif menjalankan aktiviti di seluruh negara. Bukan mudah untuk mengumpulkan sahabat-sahabat yang hampir mencapai usia emas dalam aktiviti -aktiviti yang begitu santai kalau bukan kerana semangat setiakawan yang begitu kukuh terbina sejak masih di peringkat sekolah. Sesi Teh Tarik (TT) nampaknya telah menjadi aktiviti bulanan di beberapa lokasi manakala majlis perkahwinan anak-anak SDARA pula menjadi tempat pertemuan yang lazim bagi kita semua. Sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kepada pasukan SDAR dalam pertandingan Bahas Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris Piala Perdana Menteri (PPM) baru-baru ini menjadi bukti bahawa secara psikologinya SDARA sentiasa terlibat secara aktif dan mengikuti perkembangan SDAR dari dekat walaupun secara fiizikalnya sebahagian daripada mereka berada jauh di perantaun.

Di samping bergembira dengan kejayaan yang dicapai, SDARA merasa sedih dengan kehilangan beberapa orang sahabat yang telah mendahului kita menemui Allah Yang Maha Pencipta. Semoga Allah menempatkan mereka di dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Inisiatif yang diambil oleh Saudara Yahya Pakih untuk menyenaraikan guru dan bekas pelajar SDAR yang telah meninggal dunia wajarlah disokong dengan mengemaskinikan mana-mana nama yang tertinggal.

Kepada rakan-rakan yang sedang uzur, kita berdoa semoga mereka tabah menghadapi dugaan. Pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan, nasihat, pandangan pakar dan sokongan moral daripada beberapa orang sahabat kita dalam bidang masing-masing sebagaimana yang tersiar dalam SDARian on Facebook diharap dapat meringankan sedikit beban dan penderitaan yang ditanggung.

Kepada anak-anak SDARA yang akan mengambil PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan awam yang lain sama ada di SDAR atau di mana-mana sahaja kita doakan semoga mereka mencapai kejayaan yang cemerlang.

Md Shah Bachik (62 - 67)