Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Bulan Oktober baru sahaja berlalu.  Kini kita ada sebulan setengah sahaja lagi sebelum tahun baru 2012 bermula.  Pada tahun 2011 ini, semakin ramai SDARA mencecah usia bersara wajib bagi yang berkhidmat dalam Jabatan-jabatan Kerajaan.  Kalau pengiraan saya betul, mereka yang  saya maksudkan itu ialah Fivers 1971 atau tamat Tingkatan 6 pada tahun 1973 atau lebih tepat lagi yang lahir dalam tahun 1953 iaitu yang satu batch dengan Headboy Ali bin Awang.  Selepas ini, bagi batch yang seterusnya, mungkin ramai yang memilih untuk terus bertugas sehingga 60 tahun dan terus menjadi warga emas bila bersara.

Batch pertama pelajar SDAR tamat pengajian di Tingatan 5 ialah pada tahun 1961 iaitu tahun bersejarah bagi perjuangan pelajar-pelajar SDAR yang semua kita tahu.  Ini bermakna bahawa pada akhir tahun 2011 ini, SDAR telah mengeluarkan sebanyak 50 batch pelajar.  Sepuluh (10 ) batch atau kira-kira 20% telah pun bersara.

Soalan yang paling kerap dikemukakan kepada orang yang bersara ialah  “Apakah yang saudara buat sejak bersara?” Jawapan kepada soalan itu pelbagai, bergantung kepada banyak faktor, antaranya termasuklah pengalaman, kedudukan ketika dalam perkhidmatan, kedudukan kewangan, keadaan kesihatan fizikal dan mental, liability yang ditanggung dan gaya hidup seseorang. Tapi umumnya orang bersara sudah kurang membuat kerja-kerja yang memerlukan tenaga fizikal yang agresif.  Ramai juga pesara menghabiskan masa dengan mempertingkatkan amal ibadat, suatu tuntutan yang seringkali terabai ketika masih aktif bekerja walaupun semua menyedari bahawa ia tidak seharusnya berlaku begitu.  Sepatutnya sejak akil baligh lagi kita sudah bertanggungjawab sendiri untuk menguruskan amal ibadat kita kepada Tuhan Yang Maha Pencipta.  Hidup ini sangat sementara, akhirat juga yang kekal abadi.  Moga-moga kita  semua, tanpa mengira batch, usia, kedudukan sosial, kedudukan kewangan bahkan atas keadaan apa sekalipun, hendaknya kita terus perteguhkan iman dan taqwa kepada Allah s.w.t sebagaimana yang diperingatkan oleh khatib setiap kali kita menghadiri Solat Jumaat.  Kita dinasihatkan supaya bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan mematuhi semua perintah Allah dan meninggalkan semua laranganNya. Janganlah hendaknya kita menunggu waktu bersara baru hendak merancang untuk beribadat.  Pengalaman menunjukkan bahawa ramai di kalangan pesara yang terpaksa mengunjungi kelinik dan pusat-pusat perubatan untuk mendapatkan rawataan penyakit-penyakit kronik.  Solat hendaklah dilakukan pada setiap waktu, zakat hendaklaah dibayar bila mencapai nisabnya manakala ibadah haji sebaiknya dilakukan dalam usia yang masih muda.

Sejak akhir-akhir ini SDARian on Facebook menjadi semakin aktif.  Laman interaktif ini tidak syak lagi akan mengeratkan silaturahim di kalangan kita semua.  Adalah diharapkan semoga SDARian on facebook akan menarik lebih ramai ahli SDARA untuk menghadiri AGM SDARA yang ke33 pada 11 Disember dan SDARA Dinner 2011 pada 24 Disember yang akan datang.  Bertemu kita di sana, Insya Allah.

Md Shah Bachik  (62 – 67)