Category Archives: Editorial

Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

SDARA Dinner 2013 telah pun berlangsung dengan jayanya di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada 30 Mac yang lepas. Tahniah kepada pihak penganjur khasnya pasukan SDARA 80 berserta Exco SDARA 2011-2013 dan semua pihak yang terlibat. Alhamdulilah, nampaknya ramai yang hadir meliputi semua batch walaupun bilangan SDARA bagi sesuatu batch mungkin tidak ramai. Beberapa orang mantan pengetua dan mantan guru juga telah hadir. Bagi yang pertama kali hadir mungkin merasa asing buat seketika tetapi telah segera dapat menyesuaikan diri apabila semangat SDAR dapat dihidupkan oleh pengacara majlis sepanjang majlis, ditambah pula dengan persembahan multimedia yang mampu menyegarkan ingatan kita semua semasa berada di SDAR dahulu. Mudah-mudahan kita akan diizinkan Allah untuk hadir dalam SDARA Dinner bagi tahun hadapan.

(Foto SDARA Dinner 2013 bole di lihat di laman web SDARA http://sdara.com/sdarawebsite/photo-gallery/album-2013)

Ketika ini bahang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) sedang hangat di mana-mana sahaja di seluruh negara. Dalam PRU12 yang lalu, seramai 13 orang SDARA telah bertanding. Enam orang daripada mereka bertanding kerusi Parlimen manakala tujuh orang lagi bertanding bagi merebut kerusi ADUN. Lapan orang bertanding mewakili BN, empat orang mewakli PAS dan seorang mewakili PKR. Daripada 13 orang SDARA yang bertanding itu, sembilan orang menang manakala empat orang lagi tewas. Apabila Kabinet Kerajaan Pusat ditubuhkan, seorang SDARA dilantik sebagai menteri manakala dua orang dilantik sebagai Timbalan Menteri. Hasil daripada rombakan kabinet yang dilakukan kemudian, SDARA mempunyai dua orang Menteri Penuh dan seorang Timbalan Menteri sehinggalah Kabinet dibubarkan pada 3 April yang lepas. Agaknya, dalam PRU13 ini berapa orang pulakah sahabat-sahabat kita daripada kalangan SDARA yang terpilih menjadi calon dan bagaimana pula prestasi mereka. Sama-samalah kita tunggu.

Sepertimana yang telah diumumkan baru-baru ini, Kembara SDARA ke Pantai Timur Semenanjung akan berlangsung tidak lama lagi. Adalah diharapkan lebih ramai SDARA akan melibatkan diri. Sama-samalah kita memberikan sokongan kepada pihak yang menganjurkan kembara ini..Peluang yang disediakan ini janganlah kita bazirkan begitu sahaja.

Menyedari bahawa keputusan SPM SDAR bagi tahun 2012 yang lepas dilaporkan sebagai kurang memberangsangkan, maka kita yakin pihak sekolah, PIBG dan SDARA sendiri akan mengeksplotasi sepenuhnya segala tenaga dan kepakaran yang ada untuk melonjakkan kecemerlangan SDAR dalam bidang akademik. Sama-samalah kita berusaha mengenalpasti kelemahan yang lalu dan menyusun strategi yang lebih kukuh demi kemajuan SDAR yang juga bermakna kemajuan SDARA.. Insya Allah kita mampu melaksanakannya.

Md Shah Bachik (62 - 67)