Monthly Archives: March 2012

Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

SDARA Dinner 2012 yang telah berlangsung pada 25 Februari yang lepas nampaknya agak berbeza berbanding  pertemuan-pertemuan yang lalu.  Kali ini, di samping bertemu, bermesra dan berinteraksi kita juga diberikan taklimat ringkas dengan bantuan media presentation yang menarik dan informatif tentang perkembangan terkini dan halatuju SDARA pada masa akan datang.  Barisan kepimpinnan baru nampaknya telah menetapkan  nilai letak kerja (Take off value atau TOV) yang jelas dan mantap.  Bersasakan TOV tersebut maka SDARA telah menetapkan sasaran perkembangan dan pembangunannya pada masa akan datang.

Sebagai contoh, kita dimaklumkan bahawa bilangan pelajar yang telah meninggalkan SDAR sejak awal penubuhannya sehingga kini berjumlah 7,080. Bagaimanapun daripada jumlah tersebut, hanya 1,812 atau 25.6% sahaja yang telah mendafatar sebagai ahli SDARA.  Maka salah satu strategi untuk menggalakkan bekas pelajar SDAR menyertai SDARA, ialah dengan menyediakan insentif kepada mereka yang akan mendaftar sebagai ahli seumur hidup.  Mudahan-mudahan usaha ini dapat meningkatkan secara signifikan bilangan bekas pelajar SDAR menganggotai SDARA.  Kini usaha sedang giat dilakukan untuk menyenaraikan semua bekas pelajar SDAR berasaskan rekod rasmi yang masih tersimpan dengan baik di SDAR.  Saya sendiri pernah beberapa kali meneliti Buku Daftar Pelajar SDAR semasa saya masih dalam perkhidmatan dahulu, dan saya dapati semua nama kita ada dicatatkan di sana kecuali daftar pelajar batch pertama yang tidak dapat dikesan.  Sekiranya dapatan saya itu benar, agaknya masih tidak terlalu lewat sekiranya usaha dibuat untuk mengesan dan mendapatkan butir-butir pelajar batch pertama tersebut, sementara mereka masih lagi  bersama kita, sebagai pelengkap kepada senarai yang sedang disediakan.

Pengalaman berinteraksi dengan beberapa orang rakan meyakinkan saya bahawa masih ramai di kalangan kita yang belum memiliki buku Lakaran Warisan, suatu dokumen penting yang dihasilkan oleh SDARA bersempena sambutan Jubli  Emas SDAR pada tahun 2007 yang lepas.  Sehubungan itu,  saya juga pernah menyarankan supaya setiap pelajar yang masuk ke SDAR diwajibkan memiliki dokumen tersebut sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan SDAR kepada pelajar baru.   Berasaskan kandungan catatan yang terdapat dalam Lakaran Warisan dan maklumat-maklumat terkini dan mutakhir tentang SDAR , pelajar-pelajar baru bolehlah didedahkan kepada sejarah SDAR sebagai sebahagian daripada kurikulum minggu orientasi untuk mereka. Jika saranan ini diterima, maka bolehlah SDARA secara langsung  memainkan peranan dalam memupuk semangat sayangkan SDAR sebagai asas kepada semangat patriotik terhadap negara.  Tanpa semangat demikian mana mungkin kita dapat berkumpul saban tahun dalam suatu majlis makan malam seperti yang telah kita lakukan.  Saya yakin semangat inilah juga yang kuat mendorong kita bertemu baik secara fiizikal seperti dalam sesi TT di beberapa tempat atau pun secara maya menerusi SDARian On Facebook.  Agaknya semangat inilah juga yang mendorong blogger Maarof Kasim yang seringkali menulis tentang SDAR dalam blognya Once A Sdarian.

Semoga persahabatan yang telah kita pupuk sejak berada di SDAR terus berkekalan sehingga ke akhir hayat, Insya Allah.

 

 

 

 

 

 

Md Shah Bachik (62 – 67)