Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Salah satu ciri unik di SDAR pada tahun-tahun enam puluhan dahulu ialah sistem penempatan pelajarnya di asrama. Kami ditempatkan di asrama yang lebih dikenali sebagai “rumah” iaitu Rumah Temenggong, Rumah Laksamana dan  Rumah Bendahara, mengambil nama jawatan pembesar-pembesar dalam Sejarah Kesultanan Melayu Melaka.  Pada 15 Julai 1963 satu rombakan penempatan pelajar mengikut rumah telah berlaku apabila dua buah blok asrama baru siap dibina iaitu Rumah Sultan dan Rumah Shahbandar.   Istilah “rumah” yang digunakan  adalah sesuai dengan konsep hidup dalam sebuah keluarga yang ahli-ahlinya berbeza umur.  Di situlah kami belajar tentang kerjasama, kesepakatan, toleransi dan saling mengambil berat hal ehwal rakan sebilik dan seasrama.  Apabila kami keluar dari SDAR setelah tamat pengajian kami sering kembali ke SDAR dan menumpang menginap di rumah kami dahulu.  Dalam sukan tahunan SDAR, ahli-ahli SDARA biasanya akan pergi menyokong rumah asal mereka dan jika ada acara untuk SDARA, maka mereka akan bertanding atas nama rumah masing-masing. Bahkan dalam groupmail SDARA ada di kalangan kita yang mencatatkan nombor bilik dan nama rumah di samping tahun  masuk dan keluar SDAR.   Begitulah impaknya tinggal di asrama di sebuah SBP.

Dalam Lakaran Warisan SDARA yang diterbitkan sempena perayaan Jubli Emas SDAR ada disebutkan:

“ Sesungguhnya sistem rumah yang diamalkan sejak bertahun-tahun di SDAR  merupakan laluan hidup sangat penting bagi setiap pelajar kerana semangat kekitaan di kalangan pelajar mengikut rumah bukan sahaja wujud dalam bidang sukan bahkan dalam semua bidang pendidikan”
(Lakaran Warisan Sekolah Datuk Abdul Razak, halaman 47)

Penempatan pelajar mengikut rumah ini memberi  kesan nostalgik  yang bukan sedikit kepada pembangunan diri pelajar ketika itu.  Di dalam tiap-tiap bilik ada pelajar dari pelbagai tingkatan dan pelbagai negeri.  Di situlah kami belajar bergaul dan menyesuaikan diri, yang junior menghormati yang senior dan yang senior menjadi “pembimbing” kepada yang junior. Semangat patriotik terhadap rumah begitu kuat.  Pertandingan antara rumah seringkali diadakan baik dalam bidang sukan dan permainan mahupun dalam aktiviti-aktiviti persatuan seperti bahas dan sebagainya. Agaknya itulah sebabnya ramai di kalangan kita yang masih lagi ingat di rumah mana kita ditempatkan dan di bilik mana kita tinggal.

Apabila SDAR berpindah ke Seremban, bangunan asrama pelajar tidak lagi sama bentuk fizikalnya seperti di  Tanjong Malim. Entah apakah sebabnya rumah di SDAR semasa di Sg Gadut menjadi empat buah sahaja dengan hilangnya rumah Sultan. Lama kelamaan konsep rumah hanya berfokus kepada rumah sukan sahaja.

Kabarnya  satu perubahan yang agak signifikan telah diwujudkan di SDAR mulai awal Januari tahun 2011 ini.  Penempatan pelajar-pelajar di asrama dibuat mengikut batch.  Nama blok  asrama juga telah ditukar kepada nama baru.  Rumah  Bendahara di Blok A ditukar kepada Blok Saidina Abu Bakar, Rumah  Laksamana di Blok B ditukar kepada  Blok Saidina Umar, Rumah Temenggong di Blok C menjadi Blok Saidina Uthman dan Rumah Shahbandar di Blok D menjadi Blok Saidina Ali.

Kita percaya perubahan ini dibuat setelah mengambilkira pandangan pelbagai pihak.  Pihak pengurusan sekolah tentunya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk melaksanakan sistem begini. Dengan menghormati (with due respect) hak pengurusan sekolah yang telah berbuat demikian, secara peribadi saya rasakan satu daripada tujuan asal tinggal di asrama akan hilang.  Asrama mungkin hanya lebih merupakan tempat menginap dan tempat tinggal sementara bukan lagi tempat untuk membangunkan jati diri pelajar.

Penghuni bilik 3 dan 4 Rumah Bendahara pada tahun 1967
(Pelajar dari Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 5 tinggal di bilik yang sama)

Ahli-ahli Rumah Bendahara bersama House Master En Soh Kai Yin semasa Sukan Tahunan pada pertengahan tahun enampuluhan.


Newsletter keluaran kali ini telah diubah fomatnya.  Diharap ahli-ahli SDARA akan memberikan maklumbalas ke atas format baru ini.

Md Shah Bachik  (62 – 67)

5 Responses to Editorial Message

  1. Saya kurang setuju nama-nama rumah ditukar. Lebih-lebih lagi kepada nama pembesar Islam. Kita mesti ingat bukan semua Sdara beragama Islam. Ramai orang bukan Islam tidak mahu memasukkan anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan kerana tidak mahu berdepan dengan ciri-ciri Islam, contohnya bacaan doa untuk itu dan ini. Apa pihak SDAR sudah buat tidak menolong untuk menarik orang bukan Islam memasukkan anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Mungkin SBP lain pun sedang atau sudah memasukkan ciri-ciri Islam ke dalam sekolah mereka. Bagi saya ini tidak menolong menjayakan konsep 1 Malaysia.

    Kalau nak tukar pun apa salahnya tukar kepada nama pembesar atau penjuang Malaysia sebenar seperti Mat Kilau, Dato’ Onn atau P. Ramlee?

  2. Sayang sekali, dalam kelima-lima RUMAH tersebut, Rumah saya yang pada zaman saya dikepalai oleh Ustaz Tn Haji Tajuddin yang tidak diwujudkan. Mungkin tepat, kerana keempat-empat yang tinggal merupakan memanda.

    Success Through Endeavour

  3. Muhammad Abdullah A

    Setuju dengan apa yang dikatakan bro Maarof….SDAR sekarang sedikit dah hilang glamour tidak saperti tahun-tahun 60an saya rasa (mungkin). Pada tahun2 60an `duty master’ bukan sahaja buat `inspection’ pada hari Sabtu tapi juga sebelah malam. Terkenang bila Encik A Razak (sekarang Dato`) bila buat inspection kami di rumah Sultan dah tau yang beliau berada dirumah Bendahara bila terdengar bunyi hentakan kasutnya. Camana pun ada yang`tertangkap & terperangkap’. Banyak nostalgia tinggal di asrama yang payah nak dilupakan.
    Tahun 60an kebiasaan Rumah Sultan & Temenggong berentap dalam debat, Rumah Laksamana juara olahraga, Rumah Shahbandar jagoan takraw bersaing dengan Rumah Sultan……itu sedikit sebanyak yang saya ingat selama 6 tahun berada di SDAR.

  4. roslan bin ahmad

    Juz names to me. Good names replacing another memorable names.

  5. Arzman Abdul Aziz

    Salam kepada mereka yang membaca,
    Saya penuntut SDAR dari tahun 1974 hingga 1978 – (Ketua Rumah Laksamana – 1978).
    Pandangan saya :-
    a). Adalah lebih baik dikekalkan dengan nama-nama dahulu seperti Rumah
    Sultan, Laksamana, Temenggong, Bendahara dan Syahbandar.
    b). Sekurang-kurangnya kesinambungan sejarah nama-nama tersebut yang
    telah diujudkan begitu lama menjadi titik nostalgia sejarah dan dapat di
    ingati, dikenang dan di sayangi sehingga kejenarasi seterusnya.
    c). Nama-nama seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina-saidina yang lain
    perlu dihormati dan dijaga dengan baik kerana :
    i) sekiranya berlaku pelanggaran disiplin atau salahlaku… nama
    penuntut tidak disebut akan tetapi nama Saidina tempat tinggal
    penuntut pula yang akan disebut-sebut atau dikutuk.
    i i) Begitu juga bila ada pertandingan diantara rumah-rumah…. jika tidak
    prihatin…nama-nama saidina akan jadi bahan ajukan dan sindiran.
    iii) Sekiranya masih ada ‘Inspection’ kebersihan bilik. Bilik rumah yang
    terkotor akan menjadi bahan rujukan dan sekali lagi nama saidina
    akan ditonjolkan.
    iii) Biarlah roh arwah Saidina-saidina berada didalam keadaan tenang
    bersama roh-roh mereka-mereka yang beriman .
    Terima kasih dan selamat maju jaya.

    SALAM HORMAT………Arzman Abdul Aziz (H/P 012-679 3090)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>