Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Salah satu ciri unik di SDAR pada tahun-tahun enam puluhan dahulu ialah sistem penempatan pelajarnya di asrama. Kami ditempatkan di asrama yang lebih dikenali sebagai “rumah” iaitu Rumah Temenggong, Rumah Laksamana dan  Rumah Bendahara, mengambil nama jawatan pembesar-pembesar dalam Sejarah Kesultanan Melayu Melaka.  Pada 15 Julai 1963 satu rombakan penempatan pelajar mengikut rumah telah berlaku apabila dua buah blok asrama baru siap dibina iaitu Rumah Sultan dan Rumah Shahbandar.   Istilah “rumah” yang digunakan  adalah sesuai dengan konsep hidup dalam sebuah keluarga yang ahli-ahlinya berbeza umur.  Di situlah kami belajar tentang kerjasama, kesepakatan, toleransi dan saling mengambil berat hal ehwal rakan sebilik dan seasrama.  Apabila kami keluar dari SDAR setelah tamat pengajian kami sering kembali ke SDAR dan menumpang menginap di rumah kami dahulu.  Dalam sukan tahunan SDAR, ahli-ahli SDARA biasanya akan pergi menyokong rumah asal mereka dan jika ada acara untuk SDARA, maka mereka akan bertanding atas nama rumah masing-masing. Bahkan dalam groupmail SDARA ada di kalangan kita yang mencatatkan nombor bilik dan nama rumah di samping tahun  masuk dan keluar SDAR.   Begitulah impaknya tinggal di asrama di sebuah SBP.

Dalam Lakaran Warisan SDARA yang diterbitkan sempena perayaan Jubli Emas SDAR ada disebutkan:

“ Sesungguhnya sistem rumah yang diamalkan sejak bertahun-tahun di SDAR  merupakan laluan hidup sangat penting bagi setiap pelajar kerana semangat kekitaan di kalangan pelajar mengikut rumah bukan sahaja wujud dalam bidang sukan bahkan dalam semua bidang pendidikan”
(Lakaran Warisan Sekolah Datuk Abdul Razak, halaman 47)

Penempatan pelajar mengikut rumah ini memberi  kesan nostalgik  yang bukan sedikit kepada pembangunan diri pelajar ketika itu.  Di dalam tiap-tiap bilik ada pelajar dari pelbagai tingkatan dan pelbagai negeri.  Di situlah kami belajar bergaul dan menyesuaikan diri, yang junior menghormati yang senior dan yang senior menjadi “pembimbing” kepada yang junior. Semangat patriotik terhadap rumah begitu kuat.  Pertandingan antara rumah seringkali diadakan baik dalam bidang sukan dan permainan mahupun dalam aktiviti-aktiviti persatuan seperti bahas dan sebagainya. Agaknya itulah sebabnya ramai di kalangan kita yang masih lagi ingat di rumah mana kita ditempatkan dan di bilik mana kita tinggal.

Apabila SDAR berpindah ke Seremban, bangunan asrama pelajar tidak lagi sama bentuk fizikalnya seperti di  Tanjong Malim. Entah apakah sebabnya rumah di SDAR semasa di Sg Gadut menjadi empat buah sahaja dengan hilangnya rumah Sultan. Lama kelamaan konsep rumah hanya berfokus kepada rumah sukan sahaja.

Kabarnya  satu perubahan yang agak signifikan telah diwujudkan di SDAR mulai awal Januari tahun 2011 ini.  Penempatan pelajar-pelajar di asrama dibuat mengikut batch.  Nama blok  asrama juga telah ditukar kepada nama baru.  Rumah  Bendahara di Blok A ditukar kepada Blok Saidina Abu Bakar, Rumah  Laksamana di Blok B ditukar kepada  Blok Saidina Umar, Rumah Temenggong di Blok C menjadi Blok Saidina Uthman dan Rumah Shahbandar di Blok D menjadi Blok Saidina Ali.

Kita percaya perubahan ini dibuat setelah mengambilkira pandangan pelbagai pihak.  Pihak pengurusan sekolah tentunya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk melaksanakan sistem begini. Dengan menghormati (with due respect) hak pengurusan sekolah yang telah berbuat demikian, secara peribadi saya rasakan satu daripada tujuan asal tinggal di asrama akan hilang.  Asrama mungkin hanya lebih merupakan tempat menginap dan tempat tinggal sementara bukan lagi tempat untuk membangunkan jati diri pelajar.

Penghuni bilik 3 dan 4 Rumah Bendahara pada tahun 1967
(Pelajar dari Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 5 tinggal di bilik yang sama)

Ahli-ahli Rumah Bendahara bersama House Master En Soh Kai Yin semasa Sukan Tahunan pada pertengahan tahun enampuluhan.


Newsletter keluaran kali ini telah diubah fomatnya.  Diharap ahli-ahli SDARA akan memberikan maklumbalas ke atas format baru ini.

Md Shah Bachik  (62 – 67)