Editorial Message

dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

 

Selain daripada nikmat Islam dan Iman, kesihatan adalah merupakan satu lagi nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita. Mungkin ramai yang “take for granted” tentang nikmat ini. Kebanyakan kita hanya menyedari bahawa kesihatan itu adalah suatu nikmat yang sangat berharga apabila telah jatuh sakit.

Akhir-akhir ini kita seringkali mendengar berita sahabat-sahabat kita yang telah jatuh sakit. Alangkah baiknya sekiranya kita berkesempatan meluangkan sedikit masa untuk menziarahi mereka yang sakit dan bagi yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal bolehlah menggunakan berbagai kaedah yang lain seperti melalui sms, facebook dan sebagainya untuk sekurang-kurangnya memberikan sokongan moral kepada yang sakit. Sama-samalah kita doakan semoga shabat-sahabat kita itu segera sembuh bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam keluaran kali ini, dalam segmen Renungan, Saudara Dr Abdullah Daud telah menyediakan satu artikel pendek tetapi padat mengenai Diabetes Mellitus (DM) atau kencing manis, iaitu salah satu penyakit yang sangat biasa menghinggapi orang yang sudah memasuki usia emas. Kata beliau penyakit ini merupakan “Silent killer that creeps on you while you are ‘enjoying’ your life”.

Jika kita berpeluang pergi ke pusat-pusat kesihatan khasnya di bahagian NCD (Non-Contagious Disease) atau penyakit tidak berjangkit, kita akan bertemu dengan pesakit-pesakit yang sama ada mengidap darah tinggi ataupun kencing manis ataupun kedua-duanaya sekali di samping berbagai-bagai NCD yang lain.

Menurut Buzzle.com “Diseases that are not spread from person to person are called non-contagious diseases. These diseases are usually long term in nature and develop slowly. The World Health Organization attributes about 60% of the world’s death to these diseases. The causes of many of these diseases have not been specified as yet. However, much is attributable to an individual’s medical history, lifestyle, environment in which we live, smoking, drinking, diet, physical activity, exposure to pollution, and last but not the least, genetics. Most of these diseases are associated with unhealthy and sedentary lifestyles”.

Nasihat yang lazimnya diberikan oleh para doktor berkaitan dengan penyakit ini ialah kita mesti mengawal pemakanan kita di samping melakukan senaman secara berterusan. Bukan senang untuk mengawal apa yang kita makan dan bukan mudah untuk melakukan senaman secara regular kalau sejak berada di SDAR lagi kita “liat” melakukan exercise. Saya masih ingat lagi bagaimana semasa berada di SDAR pada tahun-tahun enam puluhan dulu seringkali pelajar cuba memberikan berbaga-bagai alasan kepada Mr Leonard Wee, guru PE (Physical Exercise) supaya dikecualikan daripada mengikuti pelajaran PE. Sekarang baharulah kita benar-benar faham kenapa pelajaran tersebut sangat penting demi memastikan kita sentiasa sihat fizikal dan mental. Itulah sebabnya sejak di bangku sekolah lagi kita diwajibkan menyertai aktiviti-aktiviti fizikal seperti sukan dan permainan dan juga aktiviti mengasah minda serta membangunkan kemahiran sosial seperti berbahas dan berpersatuan. Orang yang aktif fizikal dan mental biasanya lebih sihat daripada mereka yang pasif. Tidak hairanlah kita apabila melihat guru kita Mr Leonard Wee yang kita sayangi itu masih kelihatan sihat sehingga sekarang dan berkesempatan pula menghadiri SDARA Annual Dinner 2012 dan merasmikan SDAR-SDARA Charity Annual Basketball Event pada 5 Mei 2012 yang lepas. Walaupun PE atau kini disebut PJK (Pendidikan Jasmani dan Kesihatan) atau PJPK (Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan) bukanlah merupakan mata pelajaran peperiksaan sama ada di peringkat rendah dan menengah, namun ia adalah salah satu elemen pendidikan yang sangat penting dalam pembangunan diri seseorang. Ini tidaklah pula bermakna bahawa mereka yang selalu melakukan senaman dan mengawal diet tidak akan dihinggapi penyakit tersebut tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mencegahnya setakat yang kita mampu. Orang yang mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan exercise secara konsisten/berterusan biasanya kelihatan lebih sihat. Amalan saudara Mohd Adib Noh dengan aktiviti berbasikalnya sangat wajarlah kita contohi.

Hal ini saya sentuh memandangkan bahawa dalam masyarakat Malaysia amalan makan di luar waktu makan biasa sudah menjadi suatu budaya yang tidak dapat dibendung lagi. Lihat sahajalah keadaan gerai-gerai makanan yang biasanya dibuka mulai petang sehingga larut malam menawarkan berbagai-bagai jenis makanan sedangkan kita semua menyedari bahawa makan di waktu malam adalah amalan yang kurang sihat. Aktiiviti-aktiviti sosial yang lain juga tidak akan sah tanpa diringi dengan makan minum. Agaknya itulah sebabnya semasa di SDAR dahulu, baik di Tanjong Malim mahupun di Sungai Gadut, Seremban ramai juga di kalangan kita yang “fly” mencari makanan di luar sekolah pada waktu malam.

Bulan Ramadhan Tahun Hijriah 1433 akan menjelang tidak berapa lama lagi. Mudah-mudahan kita semua akan memanfaatkan bulan ini untuk mendidik diri kita mengawal pemakanan dan bukan sebaliknya. Anggap sahaja kewujudan juadah-juadah yang pelbagai di pasar-pasar Ramadan sebagai cubaan. Dan yang paling penting ialah mudah-mudahan kita dapat melipatgandakan amal Ibadat kita sepanjang bulan yang mulia ini.

Selamat menjalani ibadah puasa.

Md Shah Bachik (62 - 67)