Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Mulai 1 Ogos 2011 ini umat Islam di Malaysia akan melaksanakan ibadah puasa. Bersyukur kita kepada Allah swt yang telah menemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Mudah-mudahan kita semua akan mengisi bulan ini dengan amalan-amalan soleh samada ada yang wajib mahupun yang sunat, yang ganjaran pahalanya sangat besar. Dalam kitab suci Al-Quran banyak sekali ayat yang menegaskan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan ditempatkan di dalam syurga yang di bawahnya mengalir beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya.

Saya masih teringat kira-kira setengah abad yang lalu, dalam bulan puasa inilah saya dan rakan-rakan SDARA batch 62-67 melaporkan diri di SDAR Tanjong Malim bagi memulakan pengajian di peringkat menengah. Kami datang ke Tanjong Malim dengan menaiki kereta api dihantar oleh bapa atau penjaga masing-masing. Mungkin tidak ramai yang percaya bahawa ada di antara kami yang datang sendirian tanpa dihantar oleh sesiapa pun.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Dua bulan sebelumnya iaitu Rejab dan Sya’ban juga merupakan bulan-bulan yang istimewa. Kita sering berdoa dalam bulan-bulan ini dengan doa berikut:

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”

Perintah ibadah puasa dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah .Ayat: 183, maksudnya

“Wahai  orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”,

Banyak hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini. antaranya:

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. – Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa sekalipun satu hari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dirinya dari siksa api neraka sebanyak tujuh puluh kharif (tujuh puluh kharif maksudnya adalah sejauh perjalanan yang menghabiskan masa tujuh puluh tahun)” (HR. Bukhari Muslim)

Secara ringkasnya boleh dirumuskan seperti berikut tentang bulan yang mulia ini:

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Di bulan Ramadhan inilah Al-Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibrail. Maka sewajarnyalah kita banyak menghabiskan masa dalam bulan ini dengan membaca, memahami, menghayati dan menjiwai kandungan Al-Quran.

3. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

4. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada dalam diri kita iaitu NAFSU akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. Salah satu daripada kehendak nafsu yang sangat sukar dikawal dalam bulan ini ialah nafsu berbelanja yang berlebihan untuk menjamu selera sewaktu berbuka sehinggakan kadangkala seolah-olah bulan ini adalah bulan pesta makanan.

5. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

6. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

7. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya hanya pada makan dan minum sahaja.

8. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

9. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah lagi meninggikan suara apabila bercakap.

Newsletter kali ini lewat sebulan dikeluarkan daripada tarikh yang dirancangkan (sepatutnya Jun 2011). Namun begitu ia tetap mengunjungi saudara dalam bulan yang mulia ini. Antara yang sempat dipaparkan dalam keluaran kali ini termasuklah berita suka duka ahli-ahli SDARA. Sebagai sahabat yang setia, kita sentiasa tumpang gembira atas pencapaian sahabat-sahabat kita yang menempa kejayaan dalam hidup dan kerjaya.

Tahniah kepada Saudara Saiful Izham (84-88) yang telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mulai 21 Mei 2011 yang lepas. Tahniah juga kepada yang baru mengadakan majlis perkahwinan sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk anak-anak. Kepada sahabat-sahabat kita yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya kita doakan semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat Allah. Kepada yang sedang sakit, kita doakan semoga mereka akan segera sembuh dan semoga mereka dan keluarga sabar menerima ketentuan Allah swt.

SELAMAT MENJALANI IBADAH  BERPUASA

 

Md Shah Bachik  (62 – 67)