Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Newsletter keluaran Dec 2012 ini memuatkan, antara lain, artikel bertajuk “Crusing Down The River………In 1963” yang ditulis oleh Mr Leornard Wee, bekas guru PE (Physical Education)  yang bukan sahaja dikenali oleh semua pelajar pada zamannya bahkan beliaulah satu-satunya guru yang mengenali dan mengingati nama setiap pelajar SDAR pada  masa itu.  Artikel ini menarik perhatian saya kerana secara kebetulan saya sendiri menyaksikan permulaan pelayaran itu iaitu pada 11 April 1963 dalam  masa cuti penggal pertama persekolahan. Pada ketika itu, saya sedang berada di kawasan sekolah, sementara menunggu hari saya akan dibawa ke Sekolah Anderson, Ipoh untuk menyertai Pertandingan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Perak.  Pada malam sebelum pelayaran itu dimulakan, saya menginap di asrama bersama-sama tiga orang pelajar yang akan menyertai ekspedisi tersebut iaitu Zahid Muhamad, Anuar Latif dan Murad Ismail.  Bagaimananpun  pada malam berikutnya, setelah mereka semua meninggalkan Tanjong Malim menyusuri Sungai Bernam untuk ke Sabak Bernam dan seterusnya ke Pulau Pangkor, saya pindah semula ke tempat menginapan asal saya iaitu di rumah Cikgu Mansor Gaban (Allahyarham), guru “in-charge” penyertaan saya dalam pertandingan tersebut.   Saya tidak lagi berani menginap di asrama disebabkan keadaan sangat  sunyi dan tiada seorang pun pelajar berada di kawasan sekolah.  Pada ketika itu saya baru berada di Tingkatan satu, dan baru berumur 14 tahun.

Penulisan Mr Leonard Wee ini mengingatkan kita bahwa sejak daulu lagi, menjadi budak SDAR bukan sekadar untuk mengejar kecemerlangan akademik semata-mata. Bahkan yang lebih utama ialah untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman hidup secara berdikari, berada jauh daripada ibu bapa dan keluarga.  Dengan sebab itu aktiviti di luar bilik darjah diberikan penekanan yang sama penting dengan aktiviti pembelajaran di bilik dajah. Hasilnya  jelas terbukti pada hari ini apabila bekas pelajar-pelajar SDAR memiliki semangat juang yang tinggi dan sentiasa bersedia berdikari walau di mana pun mereka berada di bumi Allah yang maha luas ini.

Sejak akhir-akhir ini ramai SDARA yang menguploadkan gambar-gambar lama untuk dikongsi bersama dalam  SDARian  on Facebook.   Soalan yang  sering ditanyakan ialah siapakah mereka dalam gambar-gambar tersebut?  Bagi yang telah berumur, mengingati nama rakan-rakan adalah satu cabaran.  Ia merupakan satu “mental exercise”  untuk menguji daya ingatan masing-masing.  Mengingati nama sahabat dalam gambar-gambar lama mungkin tidak seberat cabaran mengenali rakan yang telah lama tidak berjumpa.  Pengalaman saya bertemu dengan  saudara Zukri Mohamad, headboy SDAR bagi tahun 1967 dan Saudara Othman Awang di Kota Bharu baru-baru ini adalah contoh apa yang saya maksudkan.  Zukri telah lebih 45 tahun tidak saya temui manakala Othman Awang sudah 47 tahun tidak saya dengar khabar beritanya sejak beliau meninggalkan SDAR pada akhir tahun 1965. Kalaulah tidak ada Dr Mohd Daud Yaakob, Mohamad Othman dan Mohamad Hj Husin dalam pertemuan tersebut tentulah kami tidak akan kenal antara satu sama lain.  Alhamdulilah, bersyukur kita kepada Allah yang telah memberikan nikmat kepada kita semua belajar di SDAR yang telah menjadikan kita kini “kaya” dengan rakan dan sahabat dari seluruh negara.  Cadangan beberapa orang rakan untuk meneruskan aktiviti  kembara SDARA ke seluruh negara wajar diberikan sokongan.  Sebenarnya kembara serupa ini telahpun berlangsung di beberapa negeri oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Tahun 2012 akan berakhir sebentar lagi.  Marilah sama-sama kita melafazkan rasa kesyukuran kepada Allah yang mengizinkan kita untuk meneruskan kehidupan kita ke tahun baru 2013.  Khutbah Jumaat yang terakhir bagi tahun 2012 yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan betapa perlunya kita bermuhasabah diri iaitu merenung akan kelemahan serta kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Kemunculan  tahun baru ini hendaklah dimulakan dengan azam untuk kita berubah daripada kekurangan kepada kekuatan yang  baru khasnya  kekuatan iman dan taqwa.  Semoga  tahun baru ini kita sibukkan diri dengan melakukan amal soleh dan segala yang baik yang diredai Allah.  Ruang masa yang diberikan kepada kita hendaknya janganlah dibazirkan untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat. Rugilah kita jika masa yang diberikan kepada kita dibiarkan begitu sahaja. Bukankah Allah telah mengingatkan kita tentang betapa perlunya kita menjaga masa dalam ayat 1 -3, surah Al-Asr:

Maksdunya:  Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.

Selamat Tahun Baru.

Md Shah Bachik (62 - 67)