Monthly Archives: December 2011

Editorial Message

Assalamu’alaikum dan Selamat Sejahtera Sdara semua,

Terasa masa begitu cepat berlalu.  Kita telah  meninggalkan tahun 2011 untuk masuk ke tahun baru 2012.  Dalam tempoh setahun yang lepas tentu sekali banyak peristiwa yang telah berlaku kepada diri dan keluarga kita.  Sepanjang tahun 2011 yang lepas SDARA telah kehilangan beberapa orang ahli , antaranya yang telah dikesan dan  dilaporkan diantaranya ialah  Allahyarham Dzulkifli Ismail (69-74),  Allahyarham Haji Nawawi Omar (62-65), Allahyarham Husin Safi (61-66), Allahyarham Musa Ahmad (58-63), Allahyarham Maharom Taib (69-74),  Allahyarham Ahmad Zakwan (0509), Allahyarham  Khalis (99) dan Allahyarham Omar Samani (62-67).  Sama-samalah kita terus mendoakan semoga roh sahabat-sahabat kita ini ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Walaupun aktiviti SDARA  secara berkelompok kecil seperti pertemuan dalam sesi Teh Tarik (TT), permainan golf, futsal dan seumpanya berjalan seperti biasa, namun aktiviti anjuran SDARA sebagai sebuah organisasi induk nampaknya tidak banyak yang telah dilakukan pada tahun 2011. Sebagaimana yang telah dilaporkan, hanya Sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan AGM SDARA ke 33 sahaja yang telah berjalan manakala Dinner 2011 terpaksa ditangguhkan kepada awal tahun 2012.  Hal ini tidak sama sekali  menunjukkan bahawa SDARA tidak aktif. Interaksi di kalangan ahli-ahli SDARA sentiasa berlaku dari semasa ke semasa sama ada menerusi pertemuan secara fizikal yang tidak formal seperti dalam majlis-majlis perkahwinan anak-anak SDARA ataupun interaksi melalui alam siber khasnya menerusi SDARian on Facebook dan group mail.  Mudahan-mudahan jaringan persahabatan kita akan terus kekal dan diberkati Allah swt.

AGM SDARA yang berlangsung pada 11 Disember 2011 telah berjalan dengan lancar dengan penyertaan ahli yang memberangsangkan.  Barisan kepimpinan baru bagi tahun 2011-2013 telah pun dilantik.  Kita menaruh harapan yang tinggi kepada barisan kepimpinan yang baru ini untuk bergerak aktif bagi memperkasakan organisasi kita.  Harapan yang tinggi ini wajarlah disertai dengan sokongan padu dari setiap ahli, baik dari segi moral dan idea mahupun dari segi material. Kepada barisan kepimpinan yang lama marilah kita ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas sumbangan bakti yang telah mereka berikan.

Seperti biasa, setiap orang mempunyai azam tertentu untuk dicapai dalam tahun baru 2012 ini. Kepada anak-anak SDARA yang telah memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR 2011, kita ucapkan tahniah.  Kepada mereka yang terpilih masuk ke SDAR dalam tahun persekolahan 2012, gunakanlah sepenuhnya peluang yang diberikan.

Kepada SDARA yang bergiat dalam bidang politik, tahun 2012 mungkin dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang membuatkan mereka sibuk dengan berbagai-bagai urusan menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).  Kesibukan juga berlaku di kalangan semua orang yang bergiat aktif mencari rezeki di bumi Allah yang maha luas ini. Namun begitu harus diingat bahawa kehidupan ini adalah sementara, akhirat juga yang kekal abadi.  Dalam kesibukan kita melaksanakan tugas masing-masing, hendaknya janganlah kita lupa Firman Allah  yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-anak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya).  Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi
(Al-Munafiqun, ayat 9)

Selamat Tahun Baru 2012

Md Shah Bachik  (62 – 67)